Tuesday, September 9, 2008

Urus Wang Anda: Berbelanja ikut kemampuan

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my

Kekang keinginan membeli sesuatu barang jika tidak mampu

DALAM tempoh separuh pertama tahun ini saja, bilangan individu yang datang mendapatkan nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana masalah hutang keliling pinggang dan pelbagai masalah kewangan lain mencecah 57,000 orang.

Ini satu angka yang sangat membimbangkan.

Ketua Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, berkata kegagalan pembayaran pinjaman bank secara bulanan yang menyebabkan hutang semakin menimbun menjadi antara sebab utama mengapa individu berkenaan tiada pilihan lain selain bertemu AKPK bagi mendapatkan nasihat cara menstruktur semula hutang mereka dengan bank.

Sesetengah individu berkenaan gagal menjelaskan hutang secara teratur disebabkan tidak mempunyai perancangan kewangan yang menyebabkan perbelanjaan setiap bulan melebihi pendapatan.

Mengikut perancang kewangan, jika perbelanjaan bulanan seseorang itu melebihi daripada pendapatan bersih yang diterima setiap bulan, dia dianggap hidup dalam keadaan berhutang,

Jika tidak mahu berada dalam keadaan itu, perancang kewangan mengesyorkan supaya berbelanja mengikut kemampuan atau berdasarkan jumlah wang yang ada.

Pada masa sama, anda juga perlu mengenepikan sejumlah wang sebagai simpanan bagi mencapai matlamat kewangan seperti membeli kereta atau rumah.

Secara teori ia nampak mudah, tetapi mengapa masih ramai yang tidak mengikut amalan itu sehingga seseorang itu begitu mudah terlebih belanja.

Ini disebabkan kita mudah terpengaruh dengan pelbagai produk yang diiklan di merata-rata tempat.

Keinginan yang membuak-buak untuk memiliki sesuatu produk itu menyebabkan seseorang itu membeli sesuatu barangan tanpa menyedari bahawa pada hakikatnya dia tidak sepatutnya membelinya kerana kurang berkemampuan.

Dalam keadaan ini, anda seharusnya bersabar dan menguatkan semangat untuk menolak keinginan itu.

Untuk mengelak daripada terjebak dalam kancah berbelanja lebih daripada kemampuan, anda perlu memahami apakah perkara yang mempengaruhi perbelanjaan anda.

Pengguna mesti tahu membezakan apakah yang dia ‘perlu’ dan apakah yang dia ‘mahu’.

Keperluan bermaksud sesuatu yang anda perlu ada, yang mana anda tidak boleh hidup tanpanya. Salah satu contoh keperluan adalah makanan. Anda perlu makan untuk terus hidup.

Kemahuan pula bermaksud sesuatu yang anda ingin miliki, dan ia tidak semestinya sesuatu yang anda perlu. Contohnya adalah barang kemas.

Jika mengambil kira kehidupan hari ini, telefon bimbit yang mempunyai spesifikasi asas adalah sesuatu yang perlu dimiliki bagi tujuan berkomunikasi dengan orang lain.

Bagaimanapun, telefon bimbit yang didatangkan dengan ciri-ciri seperti Bluetooth, kamera dan video atau GPS hanyalah seronok untuk dimiliki.

Memahami perbezaan antara keperluan dan kemahuan akan memberi impak besar ke atas corak perbelanjaan anda dan seterusnya ke atas tahap kewangan anda di masa depan.

Keputusan yang dibuat ke atas apa yang anda perlu dan apakah yang anda mahu juga akan memberi kesan positif ke atas bajet dan perbelanjaan bulanan.

Selain itu berbelanja secara bijak juga akan dapat membantu.

Selepas ini jika anda mahu membeli sesuatu, tanyakan diri anda, adakah saya mahukan barangan itu? Adakah wang saya mampu membelinya?

Bajet peribadi dan jumlah tunai dimiliki akan membantu anda menjawab soalan berkenaan.

Periksa juga sama ada anda telah memperuntukkan wang sejak dari awal lagi untuk membeli barangan berkenaan dan adakah anda terlebih belanja dalam bulan berkenaan.

Jika ia satu kemahuan, pertimbangkan supaya tidak membelinya.

Jika anda berbuat demikian, anda sebenarnya telah berbelanja secara bijak dan berbelanja mengikut kemampuan seperti kata pepatah 'ukur baju di badan sendiri'.

1 comment:

nadzirah said...

x tau nak tulis apa so amik la artikel orang ni, sedap juga sbg panduan kan. moga kita dapat mengawal diri daripada berlaku pembaziran terutamanya dalam bulan ramadhan ni. kalu banyak bersedekah x pe gak kan..